Selayang Pandang Politeknik METrO Kuala Lumpur
Politeknik METrO Kuala Lumpur merupakan politeknik ke 28 yang ditubuhkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi. Politeknik METrO Kuala Lumpur juga adalah Politeknik METrO pertama di Malaysia.
Bermula dengan kampus sementara di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Politeknik METrO Kuala Lumpur telah berpindah ke kampus tetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2011. Majlis Perasmian dan Pelancaran Politeknik METrO KPTM telah diadakan pada tanggal 21 Julai 2011 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi pada masa itu, Dato’ Sri Mohamed Khaled Bin Nordin.
Politeknik METrO Kuala Lumpur mempunyai dua jabatan akademik iaitu Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti. Program yang ditawarkan di bawah Jabatan Perdagangan ialah Diploma Pengurusan Peruncitan. Manakala Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti menawarkan dua program iaitu Diploma Pengurusan Hotel dan Katering yang ditawarkan sehingga sesi Jun 2015 dan Diploma Pengurusan Hotel ditawarkan mulai sesi Disember 2015.
Keunikan program-program yang ditawarkan di Politeknik METrO Kuala Lumpur ialah proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara kaedah ‘Work Based Learning’. Kaedah ini memberi pendedahan kepada pelajar dengan senario sebenar industri peruncitan dan perhotelan. Kelebihan Work Based Learning kepada para pelajar ini antaranya; Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang peruncitan dan perhotelan, memberi peluang latihan secara praktikal melalui latihan industri dengan hotel-hotel dan pasaraya-pasaraya terkemuka yang berpengalaman, di samping pelajar yang menamatkan program ini mampu untuk menjadi seorang graduan yang berkemahiran dan memenuhi kehendak pasaran.